Monday 30 May 2011

"Ummu Rufaidah..jururawat muslim pertama..."



Rufaidah Binti Sa'ad, merupakan seorang jururawat muslim yang pertama. Beliau adalah seorang jururawat yang terawal menempa kejayaan, menandingi Florence Nightingale (ikon jerurawat dari barat).
Serikandi ini berasal daripada suku Bani Aslam dan merupakan sebahagian daripada konfederasi suku Khazraj di Madinah. Wanita itu dilahirkan di Madinah sebelum hijrah Rasulullah s.a.w dan merupakan antara wanita Ansar yang mengalu-alukan kedatangan baginda ke kota tersebut. Beliau juga turut termasuk dalam golongan pertama daripada kaum Ansar yang memeluk Islam.

Ayahnya merupakan seorang tabib (doktor) dan Rufaidah mempelajari ilmu kejururawatan ketika bekerja membantu ayahnya. Tidak hairanlah sekiranya Rufaidah dalam beberapa sumber sejarah, dinyatakan sebagai wanita yang mempunyai sifat dan ciri-ciri yang baik sebagai seorang jururawat. Punya sifat kepimpinan dan pengurusan yang baik, beliau berkemampuan mengendalikan tugas walaupun dalam keadaan dan masa yang tidak menentu atau kecemasan.

Rufaidah mempunyai kemahiran klinikal tinggi dan tidak lokek untuk berkongsi ilmu mengajar jururawat lain yang bekerja bersama-samanya. Beliau tidak menghadkan tugasnya dalam situasi klinikal sahaja, malah turut turun ke padang melihat sendiri keadaan masyarakat untuk menyelesaikan masalah sesuatu penyakit dari akar umbi.

Rufaidah telah mewakafkan dirinya untuk membantu para mujahidin. Ketika Kota Madinah dalam proses perkembangan kemajuan, Rufaidah mengabdikan diri merawat kaum muslimin yang sakit. Sebuah khemah dibina di luar Masjid Nabawi ketika suasana damai. Dan ketika Perang Badar, Uhud, Khandaq dan Khaibar, Rufaidah sentiasa bersedia di barisan belakang sebagai sukarelawan dan merawat tentera Islam yang tercedera. Nabi Muhammad s.a.w sendiri memerintahkan perajurit yang cedera dirawat oleh Rufaidah.

Contohnya sewaktu Perang Khandaq, Sa'ad bin Mu'adz yang cedera telah dihantar ke khemah perubatan yang telah dibina. Pahlawan berani itu telah dirawat oleh Rufaidah. Dengan kepakaran yang dimiliki, Rufaidah telah berjaya mencabut anak panah yang terpacak di lengan Sa'ad. Rasulullah s.a.w pernah melawat Sa'ad beberapa kali ketika sedang menjalani rawatan di khemah pesakit itu. Namun hayat Sa'ad tidak lama. beliau meninggal dunia ketika Perang Bani Quraizah berlaku.

Rufaidah telah melatih sekumpulan sahabiah sebagai jururawat yang sentiasa bersedia untuk menghadapi peperangan. Apabila Rasulullah s.a.w sedang sedia menuju ke lokasi Perang Khaibar, Rufaidah dan rakan-rakannya pergi bertemu Rasulullah s.a.w. Mereka meminta kebenaran untuk turut serta menyertai rombongan para mujahidin itu ke medan perang.

Lalu Rasulullah s.a.w pun memperkenankan permintaan mereka. Dengan penuh semangat dan keazaman yang tinggi, kumpulan jururawat tersebut telah menjalankan tugas dengan baik sehinggakan Rasulullah s.a.w mengurniakan sebahagian harta rampasan kepada mereka. Bahagian yang diterima oleh Rufaidah sama banyak jumlahnya dengan seorang mujahid yang turun berjihad ke medan perang.

Personalitinya yang terpuji dan empati mampu mengurangkan penderitaan pesakit selain ubat-ubatan yang diberi. Tidak dinafikan, sentuhan tangan insan juga memainkan peranan penting dalam kejururawatan. 
Semangatnya menjadi inspirasi kepada kerjaya kejururawatan buat dunia Islam.

Sejarah Islam juga mencatat beberapa nama yang berkerja bersama Rufaidah seperti Ummu Ammara, Aminah, Ummu Aiman, Ummu Sulaim dan Hindun. Selain itu, antara jururawat Islam lain yang terkenal adalah Ku'ayibah, Aminah binti Abi Qays al-Ghifariyah, Umm 'Atiyyah al-Ansariyah, Nusaibah binti Ka'ab al-Maziniyyah dan Rubayyi' binti Muawwiz.

.................................................................................................................................................................

Kisah sejarah beliau benar-benar telah membangkitkan semangatku dalam bidang kejururawatan ini,,semoga aku dan rakan-rakan seperjuanganku dapat menjadikan ia sebagai ikon untuk kita sama-sama menjadi seorang jururawat yang berkualiti dan berjaya di dunia ini dan juga di akhirat nanti,,insyaAllah...

Saturday 7 May 2011

Ibuku,,Ratu Hatiku,,,,

Bismillahirrahmanirrahim....
Entry kali ini, saya ingin menulis mengenai seorang insan yang teramat dekat dengan kita semua..ibu..


Sebelum itu, sebagaimana yang kita tahu, tarikh sambutan hari ibu akan jatuh pada ahad minggu kedua pada bulan Mei. Jadi, pada tahun 2011 ni, kita semua akan menyambut sambuatan hari ibu pada 8 Mei 2011. Kebiasaanya, hari ibu ini disambut untuk mengenang jasa pengorbanan ibu kita yang telah menjaga dan membesarkan kita sejak dari kita dilahirkan dimuka bumi ini sehinggalah kita dewasa. Tetapi sebenarnya, kita tidak semestinya menyambut dengan khusus hari ibu ini. Tidak ada istilah "hari ibu" yang pernah diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Dalam Islam, sudah diajar bagaimana kewajipan kita untuk mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapa kita, serta mentaati segala suruhan kedua ibu bapa kita selagi ianya tidak bertentangan dengan syara'. Inilah kewajipan yang sebenar-benarnya yang sepatutnya dijalankan oleh seseorang anak itu terhadap kedua-dua orang tuanya.



Dalam sebuah hadis Sahih Bukhari, daripada Abdullah Bin Mas'ud r.a berkata, beliau bertanya kepada Rasulullah SAW, "Amalan manakah yang paling disukai oleh Allah SWT? Baginda SAW menjawab "Solat". Beliau bertanya lagi, selepas solat apa pula?, Baginda SAW menjawab "Berbuat baik (berbakti) kepada kedua ibu bapa". Kemudian beliau bertanya lagi, selepas itu apa pula? Rasulullah SAW menjawab, "Jihad".


Ini telah jelas menunjukkan bahawa pentignya untuk seorang anak itu berbakti kepada kedua orang tuanya. Menurut segala suruhan mereka selagi suruhan tersebut masih dilandasan syariat yang benar serta sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa kita merupakan satu tuntutan Islam yang wajib dilaksanakan oleh insan yang bergelar seorang anak.


Peringatan ini, saya tuliskan untuk mengingatkan saya sendiri dan juga kepada pembaca sekalian.






Wednesday 4 May 2011

Khutbah Terakhir Nabi Muhammad S.A.W

Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah Tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.


Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak aku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikan ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk di beri makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai  ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kata ku ini,Sembahlah Allah,Dirikanlah solat lima kali sehari,Berpuasalah di Bulam Ramadan dan Tunaikanlah Zakat dari harta kekayaan kamu.Kerjakanlah ibadat Haji sekiranya kamu mampu.Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah bersaudara kepada Muslim yang lain.Kamu semua adalah sama,tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah,bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan.Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia,tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru.Oleh itu wahai manusia,nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu.Sesumgguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara,yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya ,nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya.Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku menyampaikan pula kepada orang lain.Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dari ku.Saksikanlah Ya Allah bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hamba mu.